Thursday 16 February 2017

PINDAH

Saya masuk sekolah ketujuh pada tahun ini.
Alhamdulillah, dalam servis 25 tahun sebagai seorang guru, ini sekolah ketujuh saya berkhidmat. Rasa tua sungguh, huhuuu.. servis dah suku abad. Kalau kereta, dah dianggap antik.

Alhamdulillah, sekolah saya yang baru mempunyai murid 100% beragama Islam. Setelah 6 tahun di sekolah multiracial, rasa lain macam pula bila berhadapan dengan murid satu bangsa setiap hari. Tak dengar lagi celoteh amoi dalam Mandarin, slang Tamil daripada tangechi India. Itu tinggal kenangan abadi saya di SMKSJ.

Kini Allah tempatkan saya di SMKPJ, tentunya ada perancanganNya yang hanya akan diketahui dengan jelas kemudian. Suasana amat berlainan berbanding sekolah lama. Saya diberi beberapa jawatan penting yang tidak pernah saya idamkan. Tanggungjawab besar walaupun tidak pernah meminta. Menggantikan tempat dan jawatan orang lain yang masih berkongsi bumbung bukan mudah; sangat mencabar sebab manusia suka membanding, suka bercakap, suka menilai. Sesungguhnya saya berlindung dengan Allah daripada perasaan megah dan riak, dan juga dari hasad dengki orang lain.

Kekuatan hanya datang daripada Allah SWT. Sesungguhnya kita hanyalah hambaNya yang akur dan patuh atas ketentuanNya. Saya takkan mampu membuat kesemuanya dengan tenaga saya seorang tetapi inshaAllah sumber kekuatan dan inspirasi dari Allah yang menggerak segala alam atas kehendaknya.

Memang banyak yang perlu dibuat. Kerusi di bilik guru pun tak panas diduduki sebab banyak urusan yang memerlukan saya ke sana sini. Ini bukan mengeluh tetapi fakta. Saya cuba ikhlaskan diri bekerja kerana Allah, kerana ini memang kerja dan tugas saya yang dibayar gaji. Mengajar subjek bahasa Inggeris mudah tetapi untuk menjayakan kemenjadian anak murid dan membina modal insan beracuankan ikon Islam dalam kalangan anak-anak Melayu sangat-sangat mencabar pada abad ke 21.

Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taubah, ayat 105 yang bermaksud:
“Dan katakanlah (wahai Muhamad): beramallah kamu (akan segala) yang diperintahkan, maka Allah dan Rasulnya serta orang beriman akan melihat apa kamu kerjakan, dan kamu akan dikembali kepada (Allah) yang mengetahui perkara ghaib dan nyata, kemudian dia menerangkan apa yang kamu kerjakan.”

Letih dengan karenah mereka yang malas belajar.
Penat dengan sikap acuh tak acuh mereka yang tak heran bila kerja rumah tak siap, lembaran kerja yang diberi tak dijawab.. siap landing kepala atas meja.

memang di mana-mana sekolah ada murid begitu.
Tapi bila saya fikirkan yang duduk di depan saya itu adalah masa depan kita , yang bakal menggantikan kita yang semakin berusia,  yang bakal menjadi sumber tenaga manusia negara dan harapan agama serta bangsa, terasa betapa beratnya beban yang sedang dipikul warga guru seperti saya.

Semoga Allah permudahkan urusan saya di sekolah ini.
Entah berapa lama saya bakal bertugas di sini.. wallahu'alam.
Doakan yang baik-baik untuk saya dan anak-anak murid saya, ya.

No comments:

Post a Comment