Friday 31 March 2017

MONA, ANIQ dan VINCENT: MURID ISTIMEWAKU

"Mona.. mana Mona?'
Saya tahu dia sedang bersembunyi di belakang pintu. Saja nak bagi dia seronok. Namun hati tetap berdegup kencang. Risau dia melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.
Mona murid Tahun 4. Badannya besar dan tinggi. Pakaiannya kemas dan bersih. namun ada sesuatu yang menjadikannya lain daripada murid lain.
Dia mungkin autistik.
Pada tahun 90-an, masalah pembelajaran seperti AHDH, autistic dan sebagainya belum begitu luas diketahui dan dikaji. Saya pun terpaksa mencari maklumat di perpustakaan daerah.

"Ahhh... Mona buat apa di sini? Marilah masuk, teacher suka tengok Mona tulis cantik-cantik dalam buku."
Puas dipujuk, barulah dia sanggup masuk semula ke dalam bilik. Murid-murid lain meneruskan aktiviti mereka tanpa menghiraukannya. Mereka dah biasa dengan telatahnya. Dia tak suka orang menyentuh barangnya. Sifatnya sangat pembersih. Dia pasti akan merengek marah jika barangnya diusik. Tulisannya pula sangat cantik, bulat-bulat. Dia tak mahu membaca dengan kuat tetapi tetap akan menyiapkan latihan bertulis, sekiranya berjaya dipujuk.
Cikgu-cikgu lain sememangnya pening dengan telatahnya.

Mona pernah berbaring di atas meja bilik Kemahiran Hidup tanpa memperdulikan orang lain. Saya berjaya memujuknya untuk turun dari meja itu dengan menawarkan pen sebagai hadiah.
Mona suka saya. Mungkin sebab saya guru bukan Melayu di sekolahnya dan saya memberinya perhatian.

Ada saja barang dari rumahnya yang diberikan kepada saya - bunga plastik, kerongsang, dan cawan kecil menjadi hadiah kegemarannya kepada saya hampir setiap bulan. Saya terima semua sebab takut nanti kalau tak terima, dia merajuk dan buat sesuatu yang tidak diduga.
Tiba-tiba pada tahun berikutnya, Mona tidak ke sekolah lagi.
Saya tak tahu apa yang berlaku.

*******************************************************************************
"Aniq! Keluar dari almari, Aniq!"
Berpeluh saya dalam bilik darjah tu, Murid-murid tahun 2 berkerumun mengelilingi almari besi kelas.
Aniq bersembunyi di dalam almari besi itu dan enggan keluar. Saya cuba membuka pintu almari dari luar tetapi Aniq menarik pintu dari dalam. Dia tak mahu keluar. Entah apa yang berlaku sebelum itu sebab, apabila saya sampai saja ke kelas 2 B untuk waktu BI, murid-murid memberitahu saya bahawa Aniq telah menguncikan dirinya dalam almari besi.
Saya risau Aniq lemas dalam almari itu.

"Bummm!  Bumm!"
Akhirnya saya capai penyapu lalu saya pukul almari itu. Bantuan dari guru lain belum tiba.
Beberapa kali hentaman kuat, akhirnya Aniq membuka pintu almari besi itu.
Leganya hati saya.
Dia sengih walaupun badannya berpeluh. Saya senyum balik. Saya ajak dia duduk di tempatnya dan meneruskan pengajaran, sambil memberi signal kepada guru lain yang baru tiba untuk tidak mengganggu.

Aniq pandai BI. Dia suka menjawab soalan yang saya kemukakan. Latihan yang diberi pun segera disiapkannya. Saya tahu Aniq ada masalah pembelajaran tetapi dia jarang menimbulkan masalah dalam kelas saya. Mungkin dia ok sikit dalam kelas saya sebab saya selalu memberinya perhatian dan tugas tambahan sekiranya dia siap kerja awal.

Tiba-tiba saya diberitahu Aniq bertukar sekolah.
"Mengapa? Dia bertukar ke mana?"
Cikgu R mendedahkan bahawa Cikgu N selaku guru kelas telah mengadu kepada ibu Aniq akan kelakuan anaknya. Disebut juga cadangan supaya Aniq dihantar ke sekolah OKU memandangkan dia kerap mengganggu pembelajaran murid lain.

Malangnya sampai ke sudah ibu Aniq menafikan hakikat bahawa anak kesayangannya itu menghadapi masalah pembelajaran yang memerlukan bantuan intervensi dari pakar.
Saya tak tahu sama ada Aniq dimasukkan ke sekolah murid bermasalah pembelajaran atau tidak. Saya cuma berharap dia sihat dan bahagia sekarang.
Tahun ini, dia sepatutnya berumur 20 tahun.

*********************************************************************************
"Siapa yang menjerit tu?"
Suara murid menjerit dari kelas tingkat atas kedengaran dengan jelas.
Cikgu disiplin dah berlari ke situ. Saya hanya mampu meninjau dari kelas saya sebab ada pembelajaran di kelas blok lain.

Tahun berikutnya, murid itu berada di dalam kelas saya.
Vincent memang ada kad OKU. Namun, disebabkan masalah pembelajarannya dikira kurang serius dan boleh dikawal, dia termasuk dalam program intervensi di sekolah menengah biasa.
Dia autistik. Sebutannya kurang jelas dan dia lebih fasih berbahasa Inggeris berbanding bahasa ibundanya sebab selalu menonton siri Bahasa Inggeris di televisyen. Selepas sebulan sebagai gurunya, jelas sekali masalah yang dihadapi Vincent bukan setakat pembelajaran.
Murid-murid lain suka mengganggunya. Mereka yang normal pula yang terbawa-bawa dengan mimik muka dan meniru suaranya. Hal ini menimbulkan kemarahan Vincent.
Namun kerana keadaannya yang agak terhad, dia tidak pandai menyuarakan kemarahannya kerana diganggu. Dia hanya mampu mengadu kepada guru. Oleh itu juga, murid-murid sekelas itu mengambil peluang masa pertukaran guru dan waktu rehat untuk mengusiknya.

"Teacher, Vincent angkat kerusi!"
Saya segera menghentikan pengajaran kepada kumpulan itu. Saya berpaling, dan Vincent dah pun mengangkat kerusi plastiknya dalam gaya mahu membaling pada pembulinya.
"Vincent.. put down the chair. Put down the chair.. now!"
Suara terpaksa dikawal rapi supaya Vincent tak panik dan salah faham. Perlahan-lahan saya hampirinya dan mengambil kerusi itu daripadanya, sambil memberi signal kepada murid lain supaya diam.
Bukan salah Vincent.

Murid lain yang membulinya dengan membuat bunyi pelik dan menghampirinya dengan kasar.
Budak autistik tidak boleh diganggu demikian. Mereka sangat sensitif akan bunyi.
Saya terpaksa memberi amaran keras kepada semua murid kelas itu.
Alhamdulillah setelah beberapa sesi kaunseling kepada rakan sekelas Vincent, di mana mereka dinasihati agar menghormati keperluan Vincent, dia dah semakin kurang tantrumnya dalam kelas.

Saya juga belajar dari Vincent.
Saya dapati setiap hari Vincent akan membawa bekal ke sekolah. Dia siap menolak makanan lain termasuk nasi lemak yang saya belanja murid kelas itu.
Mungkin sebab keadaan OKUnya itu memerlukan dia ambil special diet yang tiada garam, pengawet dan pewarna tiruan supaya tingkahlakunya terkawal.

Saya juga tidak terkejut apabila Vincent berjaya mendapat keputusan memuaskan dalam peperiksaan, mengalahkan murid lain yang normal. Dia sangat artistik dan rajin membuat kerja seni.

Tahun ini Vincent akan menduduki peperiksaan SPM.
Saya doakan semoga dia berjaya lulus peperiksaan itu :)


No comments:

Post a Comment