Tuesday 29 September 2015

AWAK MAKAN TAK?


Jamuan akhir tahun. Saya berikan sepenuh kepercayaan dan tanggungjawab kepada para pelajar kelas saya yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India untuk merancang dan mengadakan jamuan kelas. Lagipun mereka adalah pelajar bijak, yang terbaik antara yang terbaik dalam bidang akademik. Bukan budak kecil, dah belasan tahun. Sepatutnya boleh beres sendiri, kan.
Mereka memutuskan sebulat suara untuk buat jamuan di Pizza Hut.
"Semua OK?" saya tegur Din, penolong ketua tingkatan sebaik sahaja saya tiba di restoran itu pada waktu tengah hari. Ramai pelajar yang belum tiba.
"OK, teacher."
"Apa yang awak 'order'?"
"Set package. Beef pepperoni dengan minuman dan sup."
"Beef pepperoni? Ada order pizza ayam tak?"
"Errr.. tak. Mengapa, teacher? Raj kata dia makan beef."
"Betul, teacher. Saya makan beef,"  Raj, satu-satunya pelajar berbangsa India dalam kelas itu menyampuk.
Saya tak mahu jawab. Saya tahu Raj, walaupun berbangsa India, dia beragama Kristian. Boleh makan daging lembu.Saya toleh ke arah amoi-amoi yang duduk di sebelah. 
"Do you eat beef?"
"No!!" jawapan spontan yang diterima daripada kebanyakan pelajar Cina, termasuklah beberapa pelajar lelaki.
Din dah mula panik. Dia terlupa nak tanya rakan-rakan yang lain. Pada sangkaannya, sudah selamat jika Raj menyatakan bahawa dia turut makan daging lembu. 
"Tak boleh tukar order?' saya tanya.
" Tak boleh, cikgu. Maaf, pizza sedang dimasak dalam oven," pelayan itu memberitahu kami. Kebetulan restoran itu masih lenggang melainkan kumpulan kami saja seramai 30 orang.
Syukurlah saya ada duit lebih dalam beg tangan. Dengan segera, saya tambah pesanan untuk 2 lagi Chicken Pepperoni dan 1 set Tuna. Kelihatan Din menarik nafas lega.
Bila makanan sampai, apa lagi.. semua dapat bahagian tambahan. Saya asingkan mereka kepada 2 kumpulan- yang makan beef duduk berasingan daripada yang tidak makan daging binatang itu. Namun habis juga semua akhirnya.. maklumlah anak remaja yang sedang membesar. Hanya perempuan yang malu-malu kucing, kononnya sedang 'diet'..hehe
Hmm..poket saya selaku guru kelas makin ringan pada hari itu tapi takpelah, nampaknya dah memang sebahagian gaji saya bulan itu ada bahagian mereka. Sekurang-kurangnya Din belajar sesuatu yang penting di luar bilik darjah - 'beef' bukan hanya haram dimakan oleh penganut agama Hindu.



The moral of the story?
Bukan hanya orang India yang tak makan daging lembu. Ramai orang Cina yang menyembah Buddha dan dewi KuanYim yang turut mengharamkan pemakanan daging lembu. Ada pengaruh fahaman agama Hindu; maklumlah kedua-dua agama itu berasal dari negara yang sama.
Hanya melalui pergaulan dengan orang ramai dan pembacaan sahaja kita akan tahu fakta ini. Saya tak salahkan Din. Dia mungkin tidak tahu. Mungkin juga guru-guru yang mengajarnya Pendidikan Sivik atau subjek lain tidak menyentuh bab ini. 
Bayangkan jikalau saya tak campur tangan. Mesti ada yang tidak dapat makanan yang mencukupi atau ada yang terpaksa makan makanan yang telah diharamkan oleh ibubapa mereka. Tentu timbul isu selepas itu. 
Di sesetengah majlis,isu makanan sering menjadi topik sensitif. Ada yang dijemput ke jamuan tetapi daging lembu turut dicampurkan dengan mi atau nasi. Akibatnya orang Hindu dan Buddha tidak makan, melainkan ada makanan lain yang sesuai dijamah mereka. Oleh itu, saya paling suka bila ada pelbagai pilihan makanan di sesebuah majlis. Sebabnya, saya pun kurang makan daging lembu. Dah tua macam saya ni, kenalah ikut pesan doktor, jika tak mahu bacaan tekanan darah tinggi melonjak naik.

Adakah  saya akan anjurkan jamuan akhir tahun untuk kelas saya pada tahun ini? InsyaAllah... dan sudah tentunya hidangan utama adalah ayam, huhu.

 

No comments:

Post a Comment