Saturday 3 October 2015

SUAMI ATAU ANAK?

Ada pelajar tanya saya hari ini, 
" Teacher, jika anak dan suami teacher terjatuh ke dalam laut, teacher nak selamatkan siapa dulu?" Ina tujukan soalan cepumas hari itu kepada saya.
"Teacher sayang siapa lebih, tentulah dia selamatkan dulu," Fauziah menyampuk.
"Mestilah anak." Maria cuba mengagak.
"Takkan nak biarkan suami lemas?" Halim pula memberi pendapat.

Aduh... kita baru nak mula mengajar, mereka pula nak beri soalan KBAT camtu kepada saya.
Saja-saja nak lengah-lengahkan saya daripada memberi kerja latihan kepada mereka atau memang nak tahu pendapat saya?
Teacher pun bukan bodoh, hehe.. dengan senyuman, saya renung wajah Ina.
"Kalau kamu dan bapa kamu terjatuh ke dalam laut, siapa yang kamu nak ibu kamu selamatkan dulu?"
"Tentulah saya, teacher!" jawabnya dengan nyaring.
"Haaa.. dah tau jawapan, tanya lagi," saya menepuk lembut pada bahunya. 
Maka dengan susah payah dan segala pujuk, barulah para pelajar itu akhirnya membuat kerja latihan yang diberi.

Hmmm.. soalan cepumas. 
Jika benar berlaku, (nau'zubillah) ..Siapakah nak diselamatkan dulu - suami atau anak?
Pendapat saya.. hah,pendapat tau bukan dicedok dari mana-mana buku atau kitab, maka masih boleh dipertikaikan atau dibantah.

Apabila seorang isteri diberi pilihan antara suami dan ibubapanya sendiri, tentulah agama Islam dah jelas menyatakan bahawa perlu utamakan suami. Sebabnya, suami yang bertanggungjawab terhadap isteri selepas selesainya akad nikah. Oleh itu juga, wajib suami memberi nafkah kepada isteri atas sebab tanggungjawabnya itu.

Namun, bila perlu pilih antara suami atau anak yang kedua-duanya terjatuh ke dalam laut? 
1. Perlu tahu sama ada suami atau anak tahu berenang atau tidak.    Oleh kerana suami saya tahu berenang dan boleh berenang menyelamatkan dirinya, tentulah sebagai ibu, saya pergi selamatkan anak sebab anak masih tak tahu berenang. Logik, kan.
2. Lagipun, sebagai ibu, naluri keibuan itu kuat. Tentunya naluri itu akan menarik ibu untuk terjun menyelamatkan anaknya dulu, barulah suami. Katalah apapun.. tak cukup sayangkan suami laa, tak hiraukan suami lagi la, sayang lebih kepada anak la.. namun itulah hakikatnya. Seorang ibu yang penyayang tentu akan berusaha selamatkan anaknya daripada apa-apa bahaya, walaupun tindakannya boleh membahayakan dirinya sendiri.

Uissh.. kalau camtu, tak sayangkan suami la, ya?
Bukan.. bukan tak sayang suami. Namun sayang isteri terhadap suaminya tak sama dengan kasih sayang ibu terhadap anak kandungnya. Tak sama tau.. ibu mengandungkan anak dan membawa kandungan dalam perut selama 9 bulan, merasai tendangannya dalam perut, menyusuinya.. tentunya perasaan tak serupa seperti berkahwin dengan suami walaupun berpuluh-puluh tahun. 

Sayang anak dan sayang suami..
Ketika anak masih bayi, ibu akan bangun jam 3pagi untuk menyusukannya.
Ketika suami minta air jam 3pagi setiap hari, isteri mungkin siapkan jug air di tepi katil sebelum tidur untuknya ... dah dewasa, kan.

Jika anak kecil demam, ibu sanggup bersekang mata tak tidur untuk menjaganya..merayu kepada doktor/ majikan untuk cuti jaga anak di rumah.
Jika suami demam, isteri bawanya ke klinik dan berikannya ubat ikut nasihat doktor.. doktor tak beri isteri cuti, majikan apatah lagi. ..dah dewasa, kan.

Bila anak kecil berak dalam seluar, ibu tak teragak-agak untuk mencuci duburnya dengan tangan sendiri.
Bila suami berak dalam seluar, isteri tolong hulurkan tisu basah dan tuala; bantu cuci pun jika dia sakit tak boleh urus diri sendiri.

Bila anak yang dah besar kata dia nak kahwin, ibu tanya siapa yang perlu dirisik.
Bila suami kata dia nak kahwin (lagi), huhu.. anda jawablah sendiri.

Antara sayangkan suami dan sayangkan anak.. 
kedua-duanya penting.. kedua-duanya berbeza.
Sayang suami kerana Allah, membawa bahagia..membuka pintu syurga.
Sayang anak kerana Allah, menanggung payah.. menerang jalan syurga..

Oleh itu, janganlah pertikaikan kasih sayang antara kedua-duanya.. jangan ambil hati, jika anda memahami. 
Kasih sayang suami-isteri boleh berbolak-balik jikalau tiada persefahaman dalam menjalankan tuntutan agama... boleh berlakunya cerai, walaupun tidak disukai Allah.
Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya dah jelas dalam alQuran.. hubungan ibu dengan anak takkan putus walaupun berjauhan.. anak wajib hormati dan mengerjakan kebaikan kepada ibu bapanya.
Dah jelas dihuraikan dalam kitab para ulama dan juga alQuran.

 Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara kedua-duanya atau kedua-duanya sampai umur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka. Ucapkan kepada mereka perkataan yang mulia." (Surah al-Isra' 17:23-24)


 Mu'awiyah bin Jahimah telah datang kepada Rasulullah S.A.W. lantas bertanya: "Aku hendak pergi berjihad, justeru aku datang kepadamu untuk meminta pandanganmu." Rasulullah S.A.W. bertanya, mafhumnya: "Adakah kamu masih memepunyai ibu?" Jawabnya: "Ya." Lalu, Rasulullah S.A.W. bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu kerana syurga itu berada di bawah kedua-dua kakinya." (Riwayat al-Nasa'i dan al-Tabarani)



No comments:

Post a Comment