Monday 20 March 2017

YAT 2001

Namanya Wu Yat Poh.
Kali pertama saya melihatnya, hanya perasaan benci saja di hati.
Dia muncul pada pertengahan tahun tatkala saya sibuk menguruskan pelajar tahun 1,2 dan 3 di kelas Sekolah Kurang Murid itu.
Mukanya masam. Matanya bulat merenung kami.
"Siapa nama penuh kamu?'
Dia tidak faham Bahasa Melayu. Dia sekadar menggeleng kepala.
Saya uji bacaannya pula.
Hampa. Dia juga tidak tahu membaca.
Saya mengeluh panjang. Susah jika terpaksa mengajar semula murid baru Tahun 2 itu membaca.

Hari itu juga dia merosakkan pam tandas sekolah.
Hari itu juga saya kerahnya menulis huruf A hingga Z. Dia tidak membantah. Tidak juga melawan. Dia turuti saja segala arahan saya.
Namun rasa benci saya semakin membuak-buak. Semakin tengok, saya semakin geram.
Dia menambahkan beban saya sebagai guru sedangkan banyak perkara lagi perlu saya buat di sekolah itu.

Setiap minggu dia ke sekolah dengan baju sekolah kotor.
Saya hairan. Hari demi hari baju itu semakin kotor, seolah-olah tidak pernah dibasuh dan digosok dengan seterika.
Saya panggilnya lalu bersoal jawab dalam bahasa Mandarin saya yang terhad.
"Siapa basuh baju sekolah kamu?"
"Saya,' jawabnya ringkas.

Perbualan saya dengan guru besar pula menjelaskan keadaan sebenar Yat. Dia berasal dari keluarga yang sangat miskin, lalu diambil dari rumahnya di pedalaman negeri Perak oleh pakciknya untuk dibesarkan di rumah pakcik, Makcik, isteri pakciknya tidak menerima kehadirannya di rumah mereka kerana menganggapnya sebagai beban tambahan. Sewaktu pakciknya bekerja di luar rumah, Yat dilayan sebagai orang asing yang menumpang tanpa membayar apa-apa. Dia diberi makan tetapi tidak dibenarkan menonton televisyen bersama-sama anak-anak pakciknya. Dia terpaksa membasuh pakaiannya sendiri. Kasih sayang dan perhatian hanya daripada pakciknya yang jarang berada di rumah.

Kasihan budak 8 tahun itu.
Dia keseorangan di situ dan merindui keluarga yang jauh di pedalaman. Walaupun mereka miskin dan kehidupan kurang terurus, rumah mereka penuh dengan kasih sayang. Tidak seperti rumah pakciknya.
Perasaan marah dan benci saya terhadapnya terus terpadam.
Saya ambil inisiatif untuk membantunya.

Baju seragam sekolah pertama yang saya beli dalam hidup saya ialah untuk Yat.
Saya bawa balik pakaian seragam sekolahnya yang kotor untuk dibasuh. Rendam clorox, cuci tangan sehingga putih semula.
Bila Guru Besar tahu, saya disoal. Saya jawab baju itu sebagai hadiah untuk Yat sebab ada peningkatan dalam pembelajarannya. Saya tak tipu. Yat memang bijak; 2 bulan saja di kelas saya dia dah boleh membaca dan menulis dengan baik.

Saya cuba bantu Yat di sekolah tetapi konflik di rumah pakciknya terus berlangsung.
Dia merindui adik-beradik dan ibu bapanya. Maklumlah baru berumur 8 tahun.
Setahun lebih dia tinggal di kampung itu dan belajar di kelas saya. Pembelajarannya meningkat. Dia berjaya mendapat 100markah untuk kertas Bahasa Inggeris dalam peperiksaan akhri tahun.
Apabila saya mendapat pertukaran ke sekolah kebangsaan semula, Yat berbisik bahawa dia mahu pulang ke pangkuan keluarganya.
Bapanya telah berjumpa pakciknya untuk membawa balik Yat.

Saya menghadiahkan jam tangan kepada Yat atas kejayaannya dalam peperiksaan.
Selepas itu saya tak pernah berjumpa lagi dengan Yat.
Saya bertukar sekolah.
Guru besar memberitahu saya bahawa Yat telah kembali ke pangkuan keluarganya di Perak.

Kadangkala saya terfikir bagaimana keadaan Yat sekarang.
Jikalau hidup, dia sudah berumur 24 tahun sekarang.






No comments:

Post a Comment